«

»

Aug
10

Tafsir Konsep Wasatiyyah (Bhg 2)

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi penyusunan dan penyelarasan. Mereka tidak membiarkan seluruh hidup ini kepada perasaan dan hati manusia sahaja dan tidak membiarkannya kepada kuasa undang-undang dan hukuman sahaja, malah mereka meningkatkan hati nurani manusia dengan bimbingan dan pendidikan dan menjaga kesejahteraan masyarakat dengan undang-undang dan hukuman dan mencampurkan di antara bimbingan dan undang-undang. Mereka tidak menyerahkan manusia kepada kekuasaan dan hukuman perintah dan tidak pula menyerah mereka kepada ilham hati nurani semata-mata malah mereka mencampurkan di antara keduanya.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi pertalian-pertalian dan hubungan-hubungan. Mereka tidak mengabaikan sakhsiah individu dan nilai-nilainya dan tidak pula menghapuskan sakhsiah individu di dalam sakhsiah kelompok atau negara. Mereka tidak menjadikan individu itu bebas lepas, mementingkan diri sendiri, tamak haloba dan menjaga faedah diri sendiri sahaja, malah mereka membebaskan motif-motif dan tenaga-tenaga manusia sekadar yang boleh membawa manusia kepada harakat-harakat  kemajuan dan kesuburan, dan membebaskan keinginan-keinginan dan ciri-ciri manusia sekadar yang boleh menegakkan sakhsiah individu dan kewujudannya, kemudian mereka memasang pengawal-pengawal yang dapat menghalangkan keterlaluan dan memberi  motivasi-motivasi yang boleh menggalakkan individu untuk berkhidmat kepada masyarakat. Mereka menetapkan tugas-tugs dan kewajipan-kewajipan yang dapat menjadikan individu berkhidmat kepada masyarakat dan masyarakat berkhidmat kepada individu dalam satu bentuk hubungan yang selaras dan harmoni.

Mereka adalah satu umat yang adil dari segi tempat, mereka mendiami kawasan-kawasan pusat dan tengah-tengah bumi. Sehingga ke saat ini, umat yang mendiami di bumi yang diselubungi nur Islam ialah umat yang mendiami di kawasan-kawasan di tengah bumi di antara timur dan barat dan di antara selatan dan utara. Dengan kedudukan yang sedemikian umat Islam masih menjadikan diri mereka sebagai saksi terhadap seluruh manusia. Mereka memberi apa yang ada pada mereka kepada seluruh penduduk bumi dan dengan perantaraan mereka dipindahkan hasil-hasil alam dan hasil-hasil rohani dan pemikiran dari satu tempat ke satu tempat. Merekalah yang memegang teraju pergerakan ini dengan baik dari segi kebendaannya mahupun dari segi kerohaniannya.

Mereka adalah satu umat yang pertengahan dari segi zaman. Kelahiran mereka menamatkan zaman kebudakan manusia sebelumnya dan selepas itu merekalah yang menjadi pegawal zaman kematangan akal manusia. Mereka berada di pertengahan zaman, di mana mereka membersih umat manusia dari kepercayaan yang karut dan khurafat yang masih terlekat pada mereka sejak dari zaman kebudakan mereka. Merekalah yang menghalang umat manusia dari tersesat dengan akal dan hawa nafsu mereka. Merekalah yang mengahwinkan di antara warisan rohani dari zaman-zaman para rasul dengan hasil-hasil pencapaian akal manusia yang terus berkembang subur itu. Merekalah yang dapat membimbing umat manusia ke jalan yang lurus di antara warisan rohani dan pencapaian akal.

Tiada yang dapat menghalang umat Muslimin hari ini dari mengambil tempat mereka yang sebenar yang telah dikurniakan Allah SWT kepada mereka selain dari (kesalahan) kerana mereka telah meninggalkan sistem hidup Allah SWT yang telah dipilih untuk mereka dan kerana mereka telah memilih berbagai-bagai sistem hidup yang lain yang tidak dipilih Allah SWT untuk mereka, dan mereka telah mencelupkan diri mereka dengan berbagai-bagai celupan yang lain yang bukan dari celupan syariat Allah SWT, sedangkan Allah SWT mahukan mereka mencelupkan diri mereka dengan celupan syariat Allah SWT sahaja.

Umat Islam yang mempunyai fungsi dan peranan yang sedemikian besar seharusnya sanggup memikul tanggungjawab itu dan berkorban untuknya, kerana kepimpinan itu mempunyai kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab-tanggungjawabnya. Mereka pastilah sanggup diuji sebelum memegang tanggungjawab itu agar dapat dipastikan bahawa mereka benar-benar ikhlas kepada Allah SWT dan benar-benar bersedia untuk memberi kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan yang betul.

Ayat berikut menjelaskan kepada mereka hikmat Allah SWT memilih kiblat yang telah dihadapi mereka itu apabila mereka kini dipalingkan semula darinya.

Supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang akan menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) supaya Muhammad menjadi saksi kepada sekalian ummah pada hari kiamat.

Imam al-Nasafi menaqalkan pendapat Syeikh Abu Mansur yang berkata: Ayat ini menunjukkan ijma’ (iaitu kesepakatan ulama’ di kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW) sebagai hujah kerana Allah SWT sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya, apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya.

Terdapat tiga pandangan berkenaan dengan penyaksian.

  1.           i.            Dengan amalan mereka. Inilah pendapat Ibn `Abbas, Abu Sa`id al-Khudri dan Ibn Zaid.
  2.         ii.            Dengan menyampaikan risalah mereka. Inilah pendapat Qatadah dan Muqatil.
  3.       iii.            Dengan iman mereka. Inilah pendapat Abu al-`Aliyah.

Dan tiadalah kami jadikan kiblat yang mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), iaitu sekali-kali kami tidak perintah kamu tawajjuh dengan Bait al-Maqdis, kemudian Kami palingkan kamu ke Ka’bah.

Daripada ayat ini ternyatalah dengan jelas bagaimana cara didikan Rabbani yang diatur oleh Allah SWT terhadap kelompok muslim yang baru itu, iaitu kelompok yang dikehendaki Allah SWT supaya menjadi pewaris agama Allah SWT dan pemerintah yang memerintah bumi di bawah panji-panji agama Allah SWT. Allah SWT mahukan kelompok ini taat dengan ikhlas kepadanya. Allah SWT mahukan mereka membersihkan diri dari segala kelodak jahiliyah dan hubungan-hubungannya, juga membersihkan diri dari sifat-sifat jahiliyah yang lapuk dan keinginan-keinginan yang terpendam. Allah SWT mahukan mereka menyematkan lambang Islam sahaja di hati mereka dan tidak mencampur-adukkan dengan lambang-lambang yang lain dan Allah SWT mahukan mereka mengikut perintah dari satu sumber sahaja dan tidak dikongsikan oleh mana-mana sumber yang lain. (bersambung).

Dr Zulkifli Al Bakri

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>