PENDAHULUAN
1.1 Kepimpinan yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat.
1.2 Gagasan 1 Malaysia adalah satu agenda yang merangkumi pakej perpaduan, pembangunan, kemakmuran, keamanan dan keselamatan. Selaras dengan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.1 Malaysia adalah kesinambungan usaha Kerajaan membina Negara bangsa yang bersatupadu serta memiliki sahsiah yang kukuh.
1.3 Justeru, Gagasan 1 Malaysia adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan oleh sirah Rasulullah S.A.W. dalam pembentukan Negara dan tamadun Islam di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan kebebasan beragama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan Negara Madinah.
1.4 Kecemerlangan masyarakat Madinah yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat telah diakui oleh Allah S.W.T. sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud:
“Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang munkar dan beriman kepada Allah”.
Dalam surah Al-Baqarah, ayat 143 pula ada menjelaskan bahawa umat cemerlang adalah “umat pertengahan” (ummatan wasatan) iaitu umat yang adil, yang tidak berat sebelah baik di dunia mahupun diakhirat, tetapi seimbang antara keduanya sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (umat Islam) “umat pertengahan” agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan)manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”.
1.5 Mengambil maklum dan iktibar dari ayat-ayat suci itu, maka dapatlah ditegaskan di sini bahawa “wasatiyyah”adalah satu pendekatan yang sangat dituntut oleh Islam. Pendekatan ini bersifat komprehensif dan bersepadu yang mampu menyelesaikan tuntutan dan permasalahan ummah.
1.6 Pendekatan wasatiyyah adalah suatu pendekatan mengamalkan ajaran Islam secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat, dengan mempertingkatkan kualiti hidup ummah di bidang pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, perpaduan, ekonomi dan kewangan, undang-undang dan kenegaraan, pertahanan dan sebagainya.
2. PENGERTIAN “WASATIYYAH”
Dari segi bahasa perkataan “wasatiyyah” adalah masdaratau “kataterbitan” dari perkataan “al-wasat”.Dari perkataan “al-wasat” terbit pula perkataan “al-Awsat” ism tafdilyang bermaksud sangat adil dan tidak melampau.
Perkataan lain dalam bahasa Arab yang sama dengannya ialah “ I’tidal ” bererti “tidak melampau”( rigid, ketat )dan tidak cuai (longgar).
Allah S.W.T. telah menyebut perkataan wasatan dalam firmanNya yang bermaksud: “ Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (umat Islam)(ummatan wasatan)” surah Al-Baqarah, ayat 143. Begitu juga Rasulullah S.A.W.telah menyebutkan perkataan “pertengahan” ini dalan sabdanya yang bermaksud:
“Sebaik-baik perkara itu ialah yang paling pertengahan”.
Dalam bahasa Inggeris “ Wasatiyyah” yang berasal dari perkataan “Wasat” bererti “middle”atau “ balanced ”. Manakala perkataan “ Awsat ” pula bererti “ the mid of everything ”. Begitu juga “virtue” ditakrifkan sebagai “ the midbetween two bad characters or two bad extremes ”.
3. WASATIYYAH DALAM AL-QURAN
Al-Quran menggunakan wasatiyyah dengan pengertian pertengahan, sederhana dan berimbang; antaranya; yang bermaksud:
“Dan mereka yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”. (Surah Al-Furqan, ayat: 67).
“ Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya (jangan kamu terlalu kedekut dan jangan pula terlalu pemurah) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal”. (Surah Al-Isra’ ayat: 29).
“Dan janganlah kamu meninggikan suaramu dalam solatmu dan janganlah (pula) merendahkannya dan usahakan jalan tengah di antara kedua itu” (maksudnya janganlah membaca ayat Al-Quran dalam solat terlalu kuat atau terlalu perlahan tetapi cukuplah sekadar dapat didengar oleh ma’mun).(Surah Al-Isra’, ayat : 110).
“Musa menjawab: “ sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu ….”(Surah Al-Baqarah ayat: 68).
“Dan carilah pada apa yang telah dikurniakan Allah kepadumu (kebahagian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu” (Surah Al-Qasas:77).
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari api neraka”.(Inilah doa yang sebaik-baiknya bagi seorang muslim” (Surah Al-Baqarah: ayat 201).
4. WASATIYYAH DALAM AL-SUNNAH
Kita dapat melihat kesederhanaan Rasulullah S.A.W. dalam beberapa aspek kehidupan umat Islam di zamannya, antaranya:
4.1 Penolakan cara hidup kepadrian yang melampau
Apa yang dimaksudkan dengan cara hidup kepadrian yang melampau ialah mengharamkan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan seperti berkahwin, pembangunan dan sebagainya, Al-Tabrani meriwayatkan daripada Uthman bin Maz’un bahawa ia telah berkata: “Wahai Rasulullah, izinkan saya untuk melakukan pengasian (ikhtisa’) supaya keinginan seks akan hapus”. Maka Rasulullah S.A.W. bersabda kepadanya “ Wahai Uthman, sesungguhnya Allah telah menukarkan kehidupan kepadrian kepada agama Hanif yang mudah ”.
Begitu juga al-Bayhaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda “ Berkahwinlah kamu maka sesungguhnya aku berbangga dengan kamu didepan umat-umat yang lain di hari Qiamat dan janganlah kamu mengamalkan cara hidup kepadrian orang-orang kristian.
4.2 Dibolehkan berhibur, ketawa dan berjenaka terutama pada majlis perkahwinan dan seumpamanya.
Rasulullah S.A.W. menolakamalan rigid dan terlalu seriusdi tempat-tempat yang memerlukan kerehatan, berhibur, ketawa dan gurauan.
Begitu juga Rasulullah S.A.W. memberi keizinan untuk bermain muzik, menyanyi dan menari pada majlis-majlis seperti kahwin, hari raya dan rehat. Pernah Rasulullah S.A.W. membenarkan orang-orang Habsyi menari di Masjid Nabawi sempena kedatangan hari raya, lalu baginda bersabda: “Supaya orang Yahudi tahu bahawa agama kita adalah mudah. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama Hanif yang mudah (hanif dalam akidah dan mudah dalam hukum hakam”) (Hadis riwayat Ahmad).
4.3 Digalakkan untuk menjaga kecantikan dan menzahirkan nikmat kurniaan Allah S.W.T.
Dihalalkan dan dibolehkan kepada orang Islam memakai pakaian yang cantik dan juga memakai bauan yang harum, lalu baginda bersabda“ sesungguhnya Allah itu elok dan Ia suka kepada keelokan. ” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Tirmizi ).
4.4 Pertengahan antara hak Allah, hak diri dan hak-hak makhluk
Rasulullah S.A.W. menentang tabiat melampau dalam menunaikan ibadat puasa, solat, berzikir dan membaca al-Quran sehingga melakukan kezaliman ke atas hak diri, hak keluarga dan hak masyarakat. Baginda juga berpendapat bahawa keadilan itu ialah memberi kepada setiap yang mempunyai hak akan haknya, tanpa lebih dan tanpa kurang. Sebagaimana baginda Rasulullah lakukan kepada Abdullah bin Amr ketika beliau terlalu melampau dalam beribadat, lalu baginda bersabda kepadanya: Sesungguhnya bagi badan kamu ada hak keatas kamu;bagi mata kamu ada hak keatas kamu; bagi keluarga kamu ada hakkeatas kamu;dan bagi pelawat rumahmu ada hak keatas kamu.
Dan dalam riwayat Tirmizi: Oleh itu maka tunaikanlah hak kepada orang yang mempunyai haknya.
5. PENDEKATAN WASATIYYAH DALAM AMALAN PARA SAHABAT DAN TABI’IN
Rasulullah S.A.W. sentiasa menggalakkan para sahabatnya supaya mengamalkan pendekatan wasatiyyah dalam amalan hidup mereka.Para sahabat telah melaksanakan pendekatan ini dalam segenap bidang kehidupan mereka, samada dalam bidang pemerintahan dan kepimpinan, dakwah dan pendidikan, pengurusan ekonomi, sosial dan lain-lain.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, beliau berkata:
“Sebaik-baik ummah ini ialah golongan pertengahan, orang yang lambat boleh mengikutinya dan orang yang cepat boleh perlahankannya”.Riwayat Ibn Abi Syaibah.Apa yang dimaksudkan oleh Sayyidina Ali ialah beliau membenci tabiat melampau dan juga tabiat cuai.
Begitu juga diriwayatkan bahawa Abdullah bin Amr berkata:
“ Bekerjalah kamu untuk urusan duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya Dan bekerjalah kamu untuk urusan akhiratmu seolah-olah kamu akan mati besok hari ”.
Apa yang dimaksudkan dengan kata-kata ini ialah diamalkan dalam kedua-dua bahagiannya. Manakala mengamalkan sebahagian tanpa bahagian yang lain adalah dilarang.
Umar bin Abdul Aziz berkhutbah katanya:
“ Sesungguhnya antara perkara yang sangat disukai Allah ialah sederhana dalam melakukan kesungguhan, memaaf ketika berkuasa, berlembut dalam kepimpinan. Seseorang yang berbuat baik terhadap orang lain didunia, Allah akan berbuat baik dengannya di Hari Kiamat ”.
Al-Hassan telah berkata:
“ Perjalanan hidup kamu – demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia – adalah pertengahan antara keduanya iaitu antara ketat dan yang longgar. Oleh itu hendaklah kamu bersabar – semoga dirahmati Allah – sesungguhnya golongan ahli sunnah itu amat sedikit bilangannya. Mereka tidak pergi mengunjungi orang-orang kaya dan juga tidak bersama golongan ahli bid’ah. Mereka sabar mengamalkan sunnah sehingga mereka menemui ajal mereka. Maka demikianlah – InsyaAllah – sikap mereka (Riwayat al-Darimi).
Beliau juga berkata:
“ Tuntutlah ilmu dengan tidak membahayakan ibadat dan tuntutlah ibadat dengan tidak membahayakan ilmu, kerana orang yang bekerja tanpa ilmu akan mendatangkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan. Golongan yang bertindak tanpa ilmu akan menentang umat Muhammad dengan pedang mereka.(Ibn al-Qayyim, Miftah al-Sa’adah).
Apa yang dimaksudkan dengan golongan ini ialah orang-orang khawarij yang menghalalkan darah sesama Islam. Ini adalah kerana kekurangan dalam pemikiran mereka bukan disebabkan oleh kecacatan hati nurani mereka.
oleh:
Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin
Penasihat Agama Perdana Menteri

